PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) menjangka kerja pembinaan Menara Warisan
Merdeka yang bernilai RM5 bilion akan dimulakan pertengahan tahun depan.
Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman,
berkata pihaknya sudah mengemukakan cadangan pelan pembangunan menara
setinggi 100 tingkat itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
untuk kelulusan.
Beliau berkata, proses kelulusan daripada DBKL itu dijangka mengambil masa beberapa bulan.
“Pihak DBKL akan meneliti secara menyeluruh cadangan pelan projek
pembangunan menara itu termasuk dari segi perundangan supaya tidak ada
masalah berbangkit kemudian hari,” katanya pada sidang media selepas
majlis pengumuman pengagihan pendapatan Skim Amanah Saham Bumiputera
(ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 di Kuala Lumpur
semalam.
Rancangan projek pembangunan bersepadu di kawasan berdekatan
Stadium Merdeka dan Stadium Negara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2011.
Mengikut perancangannya, ia bakal dimajukan dalam tiga fasa itu dan dijangka siap pada 2015.
Bagaimanapun beberapa pihak sebelum ini mempersoalkan rancangan
PNB membangunkan menara yang bakal menjadi bangunan tertinggi di
Malaysia itu dengan alasan ketika ini sudah ada lebihan penawaran ruang
pejabat di Kuala Lumpur.
Mengenai prospek pelaburan PNB bagi tahun depan, Hamad Kama Piah
berkata pengurus dana amanah itu akan terus menumpukan kepada usaha
meningkatkan pertumbuhan dana yang diuruskannya meskipun keadaan pasaran
global tidak menentu akibat krisis hutang Eropah dan kelemahan ekonomi
Amerika Syarikat.
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan ia bukan saja mampu terus
membayar agihan pendapatan setiap tahun malah turut menjana pertumbuhan
bagi masa depan.
“Setiap tahun kami menghadapi cabaran berikutan ketidaktentuan
pasaran global. Bagaimanapun, setakat ini kami melakukan yang terbaik.
Kami adalah pengurus dana jangka panjang, kami bukan saja dapat membayar
agihan pendapatan setiap tahun tetapi juga mewujudkan pertumbuhan untuk
masa depan,” katanya.
Mengulas cadangan pengambilalihan SP Setia Bhd, Hamad Kama Piah
berkata PNB masih menunggu kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
berhubung tawaran pengambilalihan itu.
Comments
Post a Comment